Al kisah aku kini seorang ibu

Bismillah ar-rahman ir- rahim.. 

Al kisah kini aku telah pun menjadi seorang ibu. Mempunyai sendiri anak, merasa bagaimana membawanya 9 bulan dalam rahim, merasakan bagaimana perit ketika melahirkan, merasa bagaimana aku serasikan diri dalam usia berpantang 44 hari. Ada masa aku mengamuk, aku fed up, aku stress dalam melayan karenanhnya, tapi bila difikir balik, aku mula rasa bersalah.. apa yang anak kecil itu tahu, yang dia tahu kalau ada yang dia tidak puas hati dia mula melalak, dan umminya ini mula pula pening kepala. Dia nak apa?? Alya Nur Batrisya, andai suatu masa nanti, kamu sudah dewasa, sudah mula pandai berfikir sendiri, sudah mula meneroka dunia luar, dan saat bila kamu rasa ummi mu ini bukan seorang yang sempurna untukmu, maka di sini, ummi titipkan khas pesanan buat kamu. Agar kamu tidak lupa, bahawa wanita ini sanggup menyerahkan nyawa untuk kamu. Bahawa wanita ini akan sentiasa ada di belakangmu, bahawa wanita ini, akan menyintaimu lebih dari mana mana insan. 

Sayangku, ketika entri ini ditaip, ummi mu berada di tempat kerja, meninggalkan kamu yang pastinya sedang menangis mencari. Ummimu sedang bergelumang darah, bergelumang najis, sedang menyambut kelahiran, menatap wajah bayi yang baru, membersihkan mereka sedangkan kamu, kamu masih lagi menangis mencari di mana ummi mu. Sayang, bukan ini yang ummi mahu, sebetulnya ummi ingin berada di samping mu setiap saat, sejak dari kelahiran kamu, hari kedua berpantang, ummi sendiri yang memandikan kamu, menguruskan kamu, ummi tidak ingin terlepas satu peluang pun berkenaan denganmu. Kerana ummi tahu, kamu adalah satu satunya yang ummi ada, mungkin tidak akan ada selepas kamu. Di saat ibu orang lain lena di buai mimmpi bersama permata kecil mereka, ummi berjuang untuk menyelamatkan nyawa orang lain dengan cara yang berbeza. Ummi inginkan kamu sentiasa ada di sisi, kerana ummi pernah merasa janggal bila berada di sebelah wanita yang ummi gelar ibu. Sayangku yang bijaksana, ummi mu ini membesar dengan nenek, itulah penawar hati yang duka bila sang ibu tiada. Itulah yang sering mendengar keluh kesah sedangkan ibu mencari harta dunia.Pernah suatu ketika, ummi mu ini berkata " Duit ku mampu cari, tapi bukan kasih sayang" tapi, sang ibu tidak pernah tahu, mungkin dia tahu, tetapi kekangan hidup masa kini sayang menyebabkan kaum wanitanya terpaksa mengerah tenaga juga. Ummi tidak pernah ditemani ketika mengambil hadiah untuk pelajar terbaik, tidak pernah ditemani ketika mendaftar untuk tahun pertama sekolah, bahkan, ummi mu ini tidak ditemani ibunya ketika sedang bergelut dengan nyawa. Itu yang membuat hati sangat terkilan, akan tetapi sayang, ummi mu terjumpa seorang insan yang baik hati, baginya seteruk mana pun seoran ibu itu, dia tetap ibumu, syurga ummi di bawah kakinya ketika itu. Lantas, setelah memilih Islam sebagai pegangan hidup, ummi mula menerima bahawa sang ibu juga menyayangi ummi sebenarnya. Tetapi dengan cara yang ummi tidak pernah tahu. Mungkin kamu juga akan begitu, di mana kamu merasakan bahawa ummi ini tidak menyayangi kamu, lantaran itu mulut ummi asyik membebel sahaja. Itu tanda sayang, itu tanda cinta, jika tidak sayang, tidak wujudnya kamu di dunia ini. Itu saja sudah cukup membuktikan bahawa ummi mu sangat mengasihi kamu.

Kekasih hati,
Di waktu kecilmu, ummi suka memelukmu, mencium mulut yang wangi >.< mencium pipimu yang gebu, mencium perutmu yang sedikit gendut, jika kamu mula meyembur air liur, orang lain mula melarikan diri, maka ummi juga akan mencium pipimu walau penuh dengan air liur kamu, ummi juga membasuh punggungmu, kadang kadang menunggu kamu habis meneran. Sayang, ummi cerita bukan ummi mengungkit kisah lama, tetapi ummi mahu kamu tahu, inilah wanita itu... dan jika kamu kata suatu hari nanti kamu tiada sesiapa, jangan lupa Alya, wanita ini ada sentiasa, andai jasad nya tiada, ummi tetap wujud di hati mu.. InsyaAllah sayang. Sayang, ummi tidak suka mendengar tangisan kamu, lebih lebih lagi kamu sudah pandai menjerit, sungguh ummi tidak suka. Seolah olah kamu tidak berpuas hati, ummi tidak suka akan kekasaran yang kamu mulai pelajari. Tidak, kamu perempuan, seorang perempuan seharusnya lembut, suaranya sayup, bukan nadanya tinggi dan nyaring. Kamu tidak perlu menjadi dominan sayang untuk tampil istimewa, kerana kamu memang istimewa pada asalnya. Kamu yang sulung dan bongsu.. Kamu yang pertama dan terakhir.. Tidak perlu meninggi untuk jadi tinggi, kadang kadang kita tunduk merendah pun orang lain akan angkat kita sayang, ibarat padi.. semakin berisi semakin tunduk. Sayang, untuk hari ini, setakat ini yang ummi tuliskan.. Yang ummi titipkan, buat pengubat rindu mu.. di lain waktu, dengan izinNya, insyaAllah, ummi akan menulis lagi.. dari hawa kepada hawanya, dari Nur untuk Nurnya...


0 comments to "Al kisah aku kini seorang ibu"

Pages

Welcome to my website

Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

Followers

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    Web hosting for webmasters